Friday, 30 November 2012

Hukum Menghina Nabi



بِسْمِ اللهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ

اَلْحَمْدُ لِله رَبِّ العَالَمِيْنَ ، وَالصَّلاَةُ وَالسَّلاَمُ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ ، أَشْرَفِ الأَنْبِيَاءِ وَالمُرْسَلِيْنَ ، وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ
Alhamdulillah dengan berkat dan inayah daripada Allah, kami Diploma Usuluddin dan Syariah semester 3 dapat menghadiri program seminar yang bertajuk “ Hukum Menghina Nabi dan Kaitan Dengan Akidah Ummah “. Program bermula pada pukul 7.30 pagi hingga 1.00 tengah hari. Program  seperti ini juga  merupakan program yang sangat-sangat bermanfaat dan harus diketengahkan di depan masyarakat umum kerana ia merupakan sesuatu yang berkaitan dengan permasalahan akidah dan bukan cabang furu’ semata- mata.Majlis bermula dengan ucapan dan penyampai daripada Waliduna Wa Syeikhuna Dato’ Syeikh Muhammad Fuad Ibn Kamaludin as Sanusi. Beliau menyampaikan seolah-olah menyuarakan suara hati beliau yang marah dan sedih dengan tindakan sesetengah pihak yang menghina kekasih kita yang merupakan kekasih Allah I  iaitu Sayyiduna Rasulillah ص.  Begitu juga yang pernah dinyatakan oleh Imam al Subki :

“ Saya tidak mempunyai kekuatan untuk membalas perbuatan orang yang mencaci Nabi ص dengan tangan ini. Namun, Allah itu Maha Mengetahui bahawa hati saya amat membenci dan mengengkarinya. Tetapi, mengengkari dengan hati sahaja tidak mencukupi. Maka saya bermujahadah melakukan apa yang terdaya saya lakukan dengan lidah dan pena. Saya memohon keampunan kepada Allah agar tidak membalas kekurangan yang dilakukan oleh tangan saya ini. Semoga Allah menyelamatkan saya sebagaimana Dia menyelamatkan orang-orang yang mencegah kemungkaran. Sesungguhnya Dia Maha Pemaaf lagi Maha Pengampun.”

            Terdapat sebuah kisah yang menceritakan tentang kecintaan seorang lelaki yang begitu marah kerana menghina dan mencaci Nabi ص. Kisah ini   berlaku di suatu peperangan yang ketika itu disertai oleh Abdullah Ibn Jabir. Lelaki  itu bukanlah antara orang yang berada di saf hadapan ketika berperang tetapi pada ketika itu terdapat seorang lelaki musyrikin yang sedang menghina Rasulullah, maka lelaki itu berkata bahawa aku fulan dan ibuku fulanah, jika engkau ingin menghina, hinalah aku dan ibuku bukannya kekasih Allah iaitu Rasulullah. Maka lelaki musyrikin tadi masih juga menghina Rasulullah, dan si fulan tadi berasa marah lalu kehadapan menemui lelaki musyrikin di barisan tentera musyrikin lalu memenggal kepala lelaki musyrikin tersebut. Akhirnya disebabkan si fulan tersebut berada di bahagian tengah saf tentera musyrikin maka orang-orang musyrikin pun membunuhnya. Berita tersebut akhirnya sampai kepada Rasulullah dan Rasulullah bersabda “ tidakkah kamu berasa kagum kepada lelaki tersebut kerana beliau menolong Allah dan RasulNya.”
Begitulah kecintaan yang ditunjukkan oleh orang-orang yang terdahulu yang duduk pada zaman Rasulullah, yang mana Rasulullah merupakan kekasih yang melebihi kasihnya terhadap kedua ibu bapa. Sama seperti kalimah yang pernah di lantunkan oleh sayyidina Abu Bakar as Siddiq iaitu Fidaka Abi wa Ummi Ya Rasulullah. Rasulullah merupakan makhluk yang paling mulia dan istimewa di sisi Allah, yang juga menjadi kewajipan bagi kita untuk mencintai dan memuliakan Rasulullah melebihi diri kita sendiri.

Syeikh menyarankan kepada kita supaya menghidupkan semula kitab-kitab ulama’ terdahulu kerana kitab-kitab tersebut adalah sohih dan mempunyai ijazah dan sanad yang sohih sampai kepada empunya sanad iaitu Rasulullah ص. Tetapi pada hari ini terdapat banyak kitab-kitab yang sesat dan terpesong daripada fahaman atau iktiqod Ahli Sunnah wal Jamaah yang kita tidak mampu untuk menghalang kemasukkannya di dalam Negara kita ini. Walaupun mungkin kita mampu menghalang dari sudut pembukuan tetapi ia masih juga boleh didapati di dalam internet yang boleh didapati walaupun kita hanya berada di rumah.
Selain itu, ilmu pentafsiran al Quran dan hadith juga tidak boleh dilakukan dengan sewenang-wenangnya tanpa mempunyai ilmu yang cukup untuk melakukan pentafsiran. Hal ini jelas berlaku pada zaman ini, yang mana ramai daripada kalangan ilmuan Islam sendiri yang melakukan pentafsiran tanpa merujuk pendapat ulama’-ulama’ muktabar bahkan hanya mengikut pandangan sendiri dan melihat pada zahir ayat sahaja. Antaranya adalah ayat yang berkaitan dengan melebihkan kedudukan Nabi-nabi. Masalah ini diperdengarkan di khalayak ramai dengan menggunakan corong-corong radio sebagai medan menyampaikan ilmu tanpa memgkaji dengan meluas pentafsiran sebenar ayat tersebut. Ayat tersebut daripada surah al Baqarah ayat 285 :-

"Kami tidak membezakan antara seorang Dengan Yang lain Rasul-rasulnya.

Jika dilihat pada zahir ayat, kita boleh mentafsir bahawa Allah menyuruh kita agar tidak melebihkan Nabi Muhammad sehingga membeza-bezakan dengan Nabi-nabi terdahulu.Syeikh menerangkan mengenai pentafsiran ayat di atas dengan maksud kita tidak membezakan iaitu kita beriman kepada Nabi Muhammad dan juga beriman dengan Nabi Musa tetapi itu berlawanan dengan kaum yahudi yang hanya beriman dengan Nabi Musa tetapi tidak beriman dengan Nabi Muhammad. Begitu  juga dengan Nabi Isa, kita beriman dengan Nabi Muhammad dan juga Nabi Isa tetapi kaum Nabi Isa iaitu nasrani tidak.Terdapat hadith yang menunjukkan bahawa Rasulullah sendiri yang ingin dirinya di panggil Sayyid dan ini merupakan dalil kewajipan bagi kita untuk mencintai dan memuliakan Rasulullah. Antara hadithnya ialah disebut di dalam al Mustadrak fi Sohihain hadith riwayat al hakam daripada jabir Ibn Abdillah :-“ketika Rasulullah sedang berkhutbah memuji Allah kemudian baginda bertanya : Siapakah Aku? Maka mereka menjawab : Engkau Rasulullah. Maka Nabi membalas dengan mengatakan aku tahu tetapi siapakah aku? Maka mereka menjawab : Engkau Muhammad Ibn Abdillah. Maka Nabi tidak berpuas hati dengan jawapan daripada sahabat-sahabatnya dan bersabda bahawa aku ialah Sayyid iaitu penghulu anak adam dan aku berbangga denganya.”

Hal ini menunjukkan kewajipan bagi kita mempertahankan kedudukan dan kemuliaan Rasulullah ص agar tidak direndah-rendahkan oleh orang-orang yang tidak bertanggunjawab. Terdapat banyak lagi permasalahan yang berlaku pada zaman kini, yang  berpunca daripada pengambilan ilmu dengan cara yang tidak diketahui sumber ilmu tersebut dan mentafsir dengan mengikut hawa nafsu semata-mata. Oleh itu, syeikh sudahi kalamnya dengan berwasiat kepada kita agar menuntut ilmu sedalam-dalamnya dengan berpandukan kitab-kitab silam yang mempunyai sanad dan ijazah yang sohih. Mudah mudahan usaha yang dilakukannya mendapat pandangan daripada Allah dan RasulNya, serta kita mendapat berkat dan pengetahuan daripada ilmu yang disampaikan.


وَصَلَّى اللهُ عَلَى خَيْرِ خَلْقِهِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِيْنَ